Search

Rumah musnah terbakar, empat kenderaan rosak

December 29, 2025

Info X Reporters

MEMBAKUT: Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Lembah Poring, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Jaffar Salleh, berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 11.01 malam.

Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 29 kilometer, dengan jentera tiba pada jam 12.11 tengah malam.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus. Tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Alza dan Toyota Avanza turut musnah sepenuhnya, manakala Perodua Bezza rosak kira-kira 70 peratus.

“Kerja pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air daripada jentera bomba, dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.17 tengah malam,” katanya.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Lembah Poring, Membakut. – Pix/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba berdepan kesukaran ke lokasi akibat laluan rosak dan berparit, menyebabkan jentera terpaksa berpatah balik sebelum menggunakan laluan alternatif.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 pagi selepas lokasi disahkan selamat.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X