PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa warga asing berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan menghala ke Towering melalui Jalan Bundusan.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dalam keadaan hujan lebat sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar motosikal yang berada berhampiran.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal warga asing berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta peka dengan keadaan cuaca, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan.
“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya. – Info X