TAWAU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah berjaya diberkas di kawasan tempat letak kereta perumahan rakyat di Jalan Gudang Empat, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira jam 7.20 malam.
Menurutnya, tangkapan dibuat selepas suspek dikenal pasti terbabit dalam kes ugutan jenayah yang dilaporkan pada awal bulan ini.
“Siasatan mendapati laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan yang mendakwa menerima ugutan bunuh serta mesej berunsur kesat daripada bekas suaminya menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian ugutan itu dipercayai berlaku pada 7 Disember lalu sebelum mangsa tampil membuat laporan polis pada keesokan harinya bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut.
Tambahnya, suspek sebelum ini tersenarai sebagai orang dikehendaki (wanted person) dan mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada kecederaan atau kerugian harta dilaporkan, namun ugutan berkenaan telah menimbulkan ketakutan kepada mangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk ugutan jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan sekiranya menerima sebarang ancaman keselamatan terhadap diri atau keluarga. – Info X