TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak mengugut ahli keluarganya menggunakan parang hanya kerana tidak berpuas hati ditegur berkaitan kerja pemasangan mozek di dapur sebuah rumah di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi apabila suspek yang juga abang ipar mangsa dipercayai hilang kawalan emosi selepas ditegur berhubung kerja pemasangan mozek berkenaan.
“Suspek kemudian mengamuk dan ingin melibas parang ke arah mangsa, namun tindakan itu berjaya dihalang oleh ahli keluarga lain yang berada di lokasi kejadian.
“Suspek yang juga warga asing berusia lingkungan 40-an ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira jam 10 pagi di rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira 64 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya menangani sebarang perselisihan keluarga secara berhemah dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh membahayakan keselamatan diri serta ahli keluarga lain. – Info X