TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan susulan insiden tikam membabitkan seorang lelaki warga asing di perkampungan Batu 4, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan mengenai kes tikam di daerah ini daripada mangsa.
Katanya, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.15 malam semalam di kawasan Hospital Tawau apabila mangsa berusia 20-an ditikam pada bahagian siku kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali.
“Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek terbabit.
“Pasukan operasi kemudian berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun kira-kira jam 2.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, mengelakkan sebarang bentuk konfrontasi serta segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa.
“Tindakan pantas polis ini diharap dapat memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – Info X