Search

PGA Sabah rampas pelbagai barangan RM354.6 juta, 990 individu ditahan

December 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai barangan bernilai RM354.6 juta serta menahan 990 individu sepanjang pelaksanaan beberapa operasi bersepadu dari Januari hingga Disember tahun ini.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sebanyak 698 serbuan dijalankan menerusi Op Taring ESSZONE/Daratan, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (e-Waste) serta pemeriksaan Road Check Point (RCP) di seluruh negeri.

“Tangkapan membabitkan 559 warga tempatan terdiri daripada 488 lelaki dan 71 wanita, manakala 431 warga asing pula melibatkan 387 lelaki dan 44 wanita.

“Keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM354,615,515.01 dengan pelbagai kategori barangan disita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara rampasan utama membabitkan pelbagai kenderaan darat dan laut bernilai RM65.79 juta, mesin serta jentera berat bernilai RM20.1 juta dan makanan sejuk beku dianggarkan RM51.3 juta.

“Rampasan turut melibatkan rokok dan vape bernilai RM49.09 juta, barangan e-waste bernilai RM48.88 juta serta stor, kontena dan lain-lain item dengan nilai keseluruhan RM85.84 juta.

“Selain itu, minuman keras tanpa permit bernilai RM7.68 juta, minyak sawit mentah (CPO) bernilai RM4.22 juta, senjata api dan mercun bernilai RM20.35 juta, diesel dan petrol bernilai RM519,823.96, barangan bersubsidi RM608,317.22 serta dadah jenis syabu dan ketum bernilai RM186,310.80 turut dirampas,” katanya.

Nor Omar berkata, kejayaan operasi itu turut melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan rokok haram, minyak sawit mentah, diesel dan petrol, selain penjualan minuman keras tanpa permit serta pengedaran dadah di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah rentas sempadan kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan.

“PGA Briged Sabah akan terus komited dan konsisten dalam menjaga keselamatan kawasan persempadanan demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X