KOTA KINABALU: Parti Warisan belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari depan.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sebarang dakwaan yang mengatakan Warisan sudah membuat keputusan adalah tidak benar.
“Parti Warisan ingin menjelaskan bahawa belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung sama ada parti akan bertanding dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Pada ketika ini, sebarang dakwaan atau kenyataan yang mendakwa Warisan telah membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak adalah terlalu awal dan tidak tepat.
“Seperti semua urusan pilihan raya, Warisan akan membuat keputusan melalui perbincangan dalaman dan proses parti yang sewajarnya dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, Warisan akan mengumumkan perkara itu melalui saluran yang dibenarjan parti apabila keputusan sudah dibuat.
“Sehingga itu, orang ramai dan pihak media dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada kenyataan yang disahkan dan dikeluarkan secara rasmi oleh parti,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Setakat ini, UMNO – Barisan Nasional (BN) selaku parti penyandang sudah mengumumkan calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Anak Bung Moktar, Mohd Naim Kurniawan Moktar dicalonkan bagi PRK Parlimen Kinabatangan, manakala bekas calon bebas, Mohd Ismail Ayob dicalon mewakili BN bagi PRK DUN Lamag.
Pada PRN17 lalu, calon Parti Warisan di DUN Lamag, Saifullah Lokman hanya mendapat 372 undi, manakala bagi Parlimen Kinabatangan, calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek mendapat 12,512 undi pada PRU15, 2022. – Info X