Search

RM5.5 juta atasi laluan sering terputus di Jalan Binunuk

December 30, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Masalah laluan sering terputus akibat banjir dihadapi lebih 2,000 penduduk Kampung Binunuk dan Balibata, dijangka selesai selepas projek pembaikan cerun di Kilometer 0.75 Jalan Binunuk, di sini, siap pada awal 2027.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, projek bernilai RM5.5 juta itu diusahakan sejak 2023 dan diluluskan pada awal 2025 sebelum mula dilaksanakan pada November lalu.

Katanya, masalah cerun yang semakin kritikal sejak 2023 menimbulkan kebimbangan, terutama apabila laluan utama itu sering tidak dapat dilalui ketika musim banjir, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk dan pasukan keselamatan.

“Jalan ini adalah satu-satunya laluan keluar masuk bagi Kampung Binunuk dan Kampung Balibata yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk.

“Sekiranya laluan ini terputus, ia memberi kesan besar kepada kehidupan harian, keselamatan dan aktiviti ekonomi setempat,” katanya ditemui selepas menyempurnakan pecah tanah projek itu pada Selasa.

Ruslan melihat pelan pembaikan cerun di Jalan Binunuk.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata pelaksanaan projek pembaikan cerun itu bukan saja bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan dan pertanian termasuk operasi kilang pasir dan batu serta pengeluaran hasil pertanian penduduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas kelulusan peruntukan bagi projek berkenaan, yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu infrastruktur kritikal demi kesejahteraan rakyat.

“Ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang terdedah kepada risiko bencana alam,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan memaklumkan beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Padas yang dikenal pasti berisiko akibat hakisan tebing sungai, termasuk di Lumatai dan Jalan Suasa, akan dicadangkan untuk kajian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun depan sebelum kerja pembaikan dilaksanakan secara berperingkat. – Info X