Search

PRK Lamag: Pilih BN atas semangat kebersamaan, kefahaman dan bangunkan Lamag – Miha

December 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas calon bebas DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob menjelaskan keputusannya menerima pencalonan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag bulan depan didorong semangat kebersamaan, kefahaman dan membangunkan Lamag.

Beliau berkata, pilihan dibuatnya bukan kerana kepentingan peribadi, sebaliknya mengambil kira masa depan kawasan berkenaan.

“Saya memilih BN bukan kerana nama atau sejarah semata-mata tetapi didorong oleh semangat kebersamaan, kefahaman serta matlamat untuk membangunkan DUN Lamag dan menoktahkan perselisihan pendapat 10 tahun lalu.

“Atas dasar itulah saya memilih BN, bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi demi masa depan Lamag yang lebih terancang, bersatu dan membangun bersama,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau selepas diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Lamag yang dijadual pada 24 Januari depan.

Katanya, kerjasama adalah kunci pembangunan dan bukannya kerja seorang individu atau boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Jelasnya, usaha itu memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh di antara kerajaan negeri, Persekutuan, agensi pelaksana dan wakil rakyat yang mampu duduk semeja dan bergerak sehaluan.

“Memilih platform ini membawa kepada unity sebuah gabungan yang mempunyai pengalaman, struktur dan saluran yang jelas untuk merealisasikan pembangunan kepada rakyat.

“Saya percaya masa depan Lamag terletak pada perpaduan dan kerjasama semua pihak. Perbezaan pandangan tidak seharusnya memecah-belahkan kita, sebaliknya menjadi kekuatan untuk membina idea dan solusi yang lebih baik.

“Kata bijak pandai lidi yang sebatang mudah dipatahkan tetapi lidi yang diikat dalam satu berkas akan menjadi penyapu yang mampu membersihkan segala rintangan,” katanya.

Ismail atau turut dikenali sebagai Miha diumumkan sebagai calon BN oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah pada Selasa.

PRK DUN Lamag dan PRK Parlimen Kinabatangan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Pada PRN17, 29 November lalu, Ismail yang bertanding sebagai calon Bebas hanya tewas 153 undi di tangan Allahyarham Bung Moktar menjadikan beliau sebagai pencabar terdekatnya.

Ismail turut mencabar Bung Moktar pada PRN16 pada September 2020 ketika kerusi DUN Lamag pertama kali dipertandingkan dan tewas lebih 600 undi.

Terdahulu, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, mengakui ada pihak tidak bersetuju terhadap keputusan UMNO Sabah memilih Ismail, namun beliau mempunyai alasan tersendiri atas pemilihan bekas lawan Allahyarham Bung Moktar itu.

“Bagi saya secara peribadi, saya cuba untuk meregangkan suhu politik, sebab kita baru selesai berpolitik, terlampau sengit, menimbulkan banyak permusuhan dan sebagainya.

“Bagi saya, kita ambil jalan tengah untuk memastikan rakyat dapat kita lihat, dapat kita bantu. Mesejnya adalah untuk memastikan DUN Lamag juga tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.

Katanya, keputusan UMNO Sabah itu juga sudah dimaklumkan kepada Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan beliau menerimanya. – Info X