KOTA KINABALU: Teka-teki mengenai identiti penyampai baharu KupiKupi FM Sabah akhirnya terjawab apabila Deedee Cassandra Dallius diperkenalkan sebagai wajah terbaharu stesen radio itu bagi mengisi segmen pagi popular, Morning Kinabalu.
Pengumuman berkenaan dibuat menerusi hantaran di laman Facebook rasmi KupiKupi FM Sabah hari ini, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan perbincangan dalam kalangan pendengar setia yang sebelum ini giat meneka siapakah penyampai baharu berkenaan.
Deedee Cassandra Dallius menggantikan penyampai terdahulu, Niz, dan akan digandingkan bersama Felix dalam segmen Morning Kinabalu yang bersiaran dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, bermula 5 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ooga X, Lester Miol, berkata pengambilan penyampai baharu itu adalah sebahagian daripada usaha stesen berkenaan untuk melahirkan bakat baharu dalam dunia penyiaran radio tempatan, khususnya di Sabah.
Menurutnya, Deedee Cassandra Dallius dipilih berdasarkan bakat, personaliti serta kebolehan semula jadi yang diyakini mampu membawa kelainan dan kesegaran kepada segmen pagi berkenaan.
“Pengambilan Deedee adalah untuk memberi peluang kepada bakat baharu berkembang.
“Beliau sememangnya berbakat dan kami percaya kehadirannya akan memberi suntikan segar kepada pendengar setia KupiKupi FM,” katanya ketika dihubungi Info X.

Beliau turut menjelaskan bahawa KupiKupi FM sentiasa komited melahirkan penyampai baharu yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu membina hubungan dekat dengan pendengar menerusi pendekatan santai dan berteraskan budaya tempatan.
Selain bergelar penyampai radio, Deedee Cassandra Dallius juga merupakan Unduk Ngadau Ranau serta pernah mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Naib Johan (2nd Runner-Up) Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022.
Sementara itu, gandingan Felix dan Deedee dilihat mampu membawa vibe baharu yang lebih padu, mantap dan menghiburkan, selari dengan identiti Morning Kinabalu yang dekat di hati pendengar Sabah.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat, KupiKupi FM turut mencetuskan teka-teki di media sosial dengan mengajak pendengar meneka identiti penyampai baharu itu, sekali gus menarik perhatian ramai.
Ruangan komen dibanjiri pelbagai tekaan, gurauan dan sokongan daripada pendengar yang tidak sabar menantikan pengumuman rasmi stesen radio berkenaan.
Dengan slogan ‘Kita kita juga baini’, KupiKupi FM Sabah terus membuktikan komitmen mereka dalam menyajikan kandungan radio yang segar, lokal dan dekat dengan jiwa masyarakat Sabah. – Info X