Search

OBMJ ambang Tahun Baharu: Polis ‘banjiri’ Penampang, tiga ditahan

January 1, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Kehadiran polis dipertingkatkan secara menyeluruh menerusi Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026, apabila semua elemen kepolisan digerakkan di sekitar daerah ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi berkenaan bertujuan memastikan keselamatan awam terus terpelihara, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai dan lokasi berisiko berlakunya jenayah.

Menurutnya, pendekatan kehadiran polis secara aktif di lapangan atau omnipresence dilihat berkesan dalam mengekang potensi jenayah, selain meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat sepanjang sambutan tahun baharu.

Dalam operasi itu, polis melaksanakan sekatan jalan raya di Jalan Bundusan, Penampang, selain menjalankan pemeriksaan mengejut (snap check) di dua lokasi lain yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan.

Rondaan turut dipergiatkan di kawasan taman perumahan dan kampung bagi mencegah kejadian jenayah, khususnya kes pecah rumah dan curi kenderaan yang lazim berlaku ketika musim perayaan.

Selain itu, pemeriksaan dan pemantauan turut dilakukan ke atas premis hiburan di sekitar daerah Penampang dan Putatan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengunjung.

Sammy berkata, operasi seumpama itu bukan sahaja bertujuan penguatkuasaan, malah menjadi medium untuk polis mendekati masyarakat setempat serta memudahkan perkongsian maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing.

“Hasil pemeriksaan, seramai 183 individu dan 132 kenderaan telah diperiksa, dengan tiga tangkapan berjaya dibuat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Polis Penampang akan terus komited meningkatkan kehadiran anggota di lapangan dalam usaha mencegah jenayah dan menjamin keselamatan komuniti setempat.

“Rumah kita, kita jaga. Daerah kita, kita lindungi bersama,” katanya. – Info X