LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi menyelamatkan seorang kru kapal kargo yang memerlukan rawatan segera di perairan Labuan, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, Pusat Operasi Zon Maritim (PUSOP) Labuan menerima panggilan daripada Labuan Port Control kira-kira jam 2.15 pagi memaklumkan seorang kru kapal kargo memerlukan pemindahan perubatan segera.
Menurutnya, kapal berkenaan ketika itu berada sekitar 2.6 batu nautika di tenggara Pulau Papan.
“Susulan makluman itu, Bot Petir 90 digerakkan dari jeti Zon Maritim Labuan ke lokasi bagi melaksanakan operasi MEDEVAC.
“Mangsa, seorang warganegara Arab Saudi, dilaporkan mengalami kecederaan akibat kebakaran elektrik melibatkan bahagian muka dan tangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Izwanhadi berkata, mangsa berjaya dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa komited dan bersiap siaga dalam memberikan bantuan kecemasan serta kemanusiaan kepada komuniti maritim di perairan negara. – Info X