BEAUFORT: Daerah ini diisytihar dilanda bencana banjir selepas air Sungai Padas melimpahi tebing dan menjejaskan kawasan rendah di sekitarnya pada Jumaat.
Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort pada jam 5 petang tadi bagi mengaktifkan operasi pemindahan penduduk terjejas.
Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon turut dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang mula dipindahkan malam ini.
Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pemantauan lokasi banjir diaktifkan di 13 kawasan setakat ini, termasuk laluan yang kerap dinaiki air.
Kawasan terjejas setakat ini ialah Kampung Batu 60, Binunuk, Balibata, Bakalau, Bingkul, Lubak, Gumarit, Lago, Suasa, Koundu, Kukup, Kangsa dan Bangkalalak.

Laluan terjejas banjir pula ialah Jalan Batu 60, Jalan Kampung Binunuk, Jalan Balibata, Jalan Bakalau, Jalan Bingkul, Jalan Kampung Lubak, Jalan Gumarit, Jalan Lago, Japan Suasa, Jalan Koundu, Jalan Kukup, Jalan Kangsa dan Jalan Bangkalalak.
Banjir di daerah ini berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis di di Tenom, Nabawan, Keningau dan Sook, selain sekitar daerah ini dan Sipitang.
Hujan di kawasan terbabit menyebabkan berlaku kenaikan paras air Sungai Padas dan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
Paras air Sungai Padas di daerah ini kini melebihi paras bahaya dengan bacaan melebihi 9.4 meter pada jam 9 malam tadi.
Ends