PAPAR: Sebanyak lapan kenderaan termasuk motosikal terbakar dalam kejadian kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Kampung Kuala Lorong 12, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.03 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Kebakaran membabitkan sebuah bengkel dan turut menjejaskan beberapa kenderaan dan motosikal yang berada di dalam kawasan premis berkenaan.
“Sebuah kereta jenis sedan terjejas kira-kira 50 peratus, manakala tiga lagi kenderaan iaitu dua pacuan empat roda dan kompak mengalami kesan bahangan haba sekitar empat peratus.
“Empat buah motosikal turut terjejas, tiga buah terbakar sepenuhnya, selain sebuah lagi terjejas kira-kira 90 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan air yang disalurkan daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.42 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.16 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca serta jumlah kerugian sebenar,” katanya. – Info X