Search

JSJN Sabah tahan pengurus kelab malam, ekstasi dan ketamin dirampas

January 3, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan seorang pengurus kelab malam selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM48,000 dalam dua operasi berasingan di daerah ini, semalam.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu ditahan dalam operasi pertama kira-kira jam 8.05 malam di Bundusan.

“Ketika ditahan, suspek menyerahkan sendiri satu bungkusan plastik hitam kepada polis untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi lapan paket serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat kasar 214.97 gram serta 40 paket serbuk hablur jernih disyaki ketamin seberat kira-kira 113.22 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam tangkapan pertama itu dianggarkan berjumlah RM22,000.

Menurut Alhusin, susulan tangkapan berkenaan, pihak polis menjalankan serbuan susulan kira-kira jam 10.30 malam di sebuah apartmen di Beverly Hills, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis menemukan pelbagai lagi dadah termasuk serbuk ekstasi, ketamin serta rokok disyaki mengandungi dadah yang disimpan di dalam beg dan kotak rokok.

“Rampasan kedua membabitkan anggaran berat keseluruhan kira-kira 283.71 gram dengan nilai dianggarkan RM25,980,” katanya.

Beliau berkata, dua unit telefon bimbit serta seikat kunci turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan dalang utama rangkaian pengedaran dadah berkenaan,” katanya. – Info X