KOTA KINABALU: Bandaraya Kota Kinabalu merekodkan peningkatan populasi warga asing yang ketara dengan seramai 125,400 orang berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) yang dikeluarkan pada 24 Disember lalu.
Menerusi satu kenyataan bersama, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan mewakili kawasan sekitar bandar raya Kota Kinabalu mendakwa angka itu menyaksikan pertambahan yang agak besar dengan 46,300 orang bersamaan dengan 58.5 peratus berbanding 79,100 pada 2021.
“Peningkatan yang sangat ketara ini juga agak mengejutkan memandangkan polisi Kerajaan GRS-PH yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak 2020 adalah untuk mengurangkan jumlah warga asing dan penduduk bukan warga negara di Sabah.
“Apa yang lebih membimbangkan, jumlah ini terus bertambah bermula dari tahun 2022 seramai 79,100 kepada 81,700 pada 2023. Namun, peningkatan yang amat drastik berlaku pada 2024 iaitu seramai 121,800 dengan penambahan 21,700,” kata mereka pada Sabtu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang, Samuel Wong (Luyang), Edna Majimbun (Inanam) dan Chin Tek Ming (Kapayan).
Mereka berkata, berdasarkan rekod DOSM itu, Kota Kinabalu adalah daerah ketiga selepas Sandakan (195,100) dan Tawau (142,900) mempunyai populasi penduduk bukan warga negara tertinggi di Sabah.
Jumlah itu, kata mereka merangkumi 20.9 peratus demografi penduduk Kota Kinabalu yang pada ketika ini dianggarkan dalam lingkungan 600,000 orang.
“Di mana komitmen Kerajaan Negeri untuk mengurangkan Penduduk Bukan Warga Negara ini sedangkan angka ini saban tahun terus meningkat?
“Sebagai rekod, data DOSM juga menunjukkan terdapat 1,043,200 Penduduk Bukan Warga Negara di Sabah pada ketika ini.
“Ini menunjukkan penambahan seramai 279,200 orang berbanding hanya 810,400 pada pentadbiran Kerajaan Warisan Plus,” kata mereka.
Mereka berkata, Parti Warisan sudah mengutarakan isu itu pada tahun lalu melalui Ketua Wira Parti Warisan, Terrence Au.
“Namun sehingga ke hari ini, tiada penjelasan yang diberikan Hajiji. Justeru menimbulkan tanda tanya, bagaimana jumlah Penduduk Bukan Warga Negara di Sabah meningkat kepada 1,043,200 orang,” kata mereka. – Info X