Search

Mangsa banjir dipindah di Beaufort meningkat

January 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir dipindahkan di Beaufort meningkat dengan seramai 282 orang daripada 102 keluarga kini berada di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.

Jumlah itu direkodkan setakat jam 4 petang ini, berbanding 190 mangsa daripada 75 keluarga yang dilaporkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah pada jam 8 pagi tadi.

Daerah Beaufort diisytihar dilanda bencana banjir selepas air Sungai Padas melimpahi tebing dan menjejaskan kawasan rendah di sekitarnya pada Jumaat.

Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort pada jam 5 petang semalam bagi mengaktifkan operasi pemindahan penduduk terjejas.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pemantauan lokasi banjir diaktifkan di 13 kawasan setakat ini, termasuk laluan yang kerap dinaiki air.

Anggota APM memantau situasi banjir dan memindahkan mangsa yang terjejas di Beaufort.

Kawasan terjejas setakat ini ialah Kampung Batu 60, Binunuk, Balibata, Bakalau, Bingkul, Lubak, Gumarit, Lago, Suasa, Koundu, Kukup, Kangsa dan Bangkalalak.

Laluan terjejas banjir pula ialah Jalan Batu 60, Jalan Kampung Binunuk, Jalan Balibata, Jalan Bakalau, Jalan Bingkul, Jalan Kampung Lubak, Jalan Gumarit, Jalan Lago, Japan Suasa, Jalan Koundu, Jalan Kukup, Jalan Kangsa dan Jalan Bangkalalak.

Banjir di daerah itu berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis di di Tenom, Nabawan, Keningau dan Sook, selain sekitar daerah ini dan Sipitang.

Hujan di kawasan terbabit menyebabkan berlaku kenaikan paras air Sungai Padas dan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Setakat ini, paras air Sungai Padas di Beaufort dilapor masih melebihi paras bahaya.

Ends