Search

Remaja ditahan dipercayai terbabit kes ugut

January 7, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes ugutan terhadap seorang remaja berusia 15 tahun menerusi pesanan ringkas, dalam kejadian yang berlaku di sebuah masjid di kawasan Ranggu, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa menerima mesej berbaur ugutan daripada nombor telefon tidak dikenali ketika berada di masjid berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Katanya, susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan serta menahan suspek di kawasan Lorong Industri Megah 1, Jalan Tiku.

“Suspek yang ditahan merupakan seorang remaja lelaki warga tempatan berusia lingkungan 18 tahun.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim yang dipercayai digunakan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Jasmin menasihatkan orang ramai agar menggunakan kemudahan komunikasi secara berhemah dan tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam. – Info X