Search

Suami cederakan isteri, ditahan polis

January 8, 2026

Info X Reporters

Tawau: Pertengkaran suami isteri akibat berebut telefon bimbit bertukar ganas apabila seorang wanita dilaporkan cedera selepas dipukul suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Rancangan Batu 22, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bimbang akan keselamatannya tampil membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan di bahagian muka serta belakang kepala akibat dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan operasi bagi mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Hasil operasi itu polis berjaya mengesan dan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes keganasan rumah tangga terbabit.

“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 44 tahun dan mempunyai rekod lampau pernah dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan rumah tangga dan menasihatkan orang ramai agar segera tampil membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui kejadian seumpama itu berlaku,” katanya. – Info X