Tawau: Tindakan ganas seorang lelaki yang bertindak menumbuk dan menendang seorang wanita dalam kejadian di Felda Umas 4, di sini, membawa padah apabila dia berjaya diberkas polis selepas mangsa tampil membuat laporan.
Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak agresif terhadap mangsa sebelum mengugut akan memukul wanita berkenaan sekiranya enggan menyerahkan sejumlah wang kepadanya.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa segera mendapatkan bantuan sebelum tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau melancarkan operasi mengesan suspek.
“Hasil risikan, suspek berjaya dikesan dan ditahan di kawasan Lapangan Terbang Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 29 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori.
“Suspek telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya. – Info X