Search

Polis atur gerak hampir 1,000 anggota kawal keselamatan PRK Kinabatangan

January 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah mengatur gerak seramai 926 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, daripada jumlah itu, seramai 837 pegawai dan anggota ditugaskan secara langsung di lapangan melibatkan kawalan keselamatan, trafik, pengiringan serta pemantauan sepanjang tempoh pilihan raya manakala selebihnya adalah bantuan dari pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Penugasan merangkumi semua fasa utama PRK bermula hari penamaan calon pada 10 Januari, pengundian awal pada 20 Januari dan hari pembuangan undi pada 24 Januari.

“Pada hari penamaan calon sahaja, seramai 646 pegawai dan anggota digerakkan bagi mengawal keselamatan dan memastikan proses berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya semasa sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memperkukuh kekuatan anggota, kita juga mendapatkan bantuan penugasan daripada daerah berhampiran.

“Seperti sedia maklum, penugasan kawasan Kuamut adalah mengikut IPD Beluran, manakala kawasan Lamag dan Sukau daripada IPD Kinabatangan sendiri.

“Bantuan tambahan turut melibatkan IPD Sandakan, Lahad Datu dan Semporna, termasuk penugasan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan,” katanya.

Jauteh berkata, keadaan keselamatan di Kinabatangan berada pada tahap baik dan terkawal, selain menegaskan kawasan itu bukan lokasi panas dari sudut keselamatan serta tidak pernah mencatatkan sebarang insiden serius melibatkan ketenteraman awam.

Katanya, insiden yang direkod sebelum ini hanya berlaku di dalam kawasan tertutup seperti dewan dan tidak menjejaskan keselamatan awam secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Jauteh turut menasihatkan semua parti politik serta individu terlibat agar menjalankan kempen secara berhemah, menjaga sensitiviti masyarakat setempat dan mengelakkan penggunaan isu berunsur provokasi terhadap mana-mana pihak.

“Polis menegaskan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat sebarang perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.

“Masyarakat setempat juga perlu memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRK Kinabatangan berjalan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. – Info X