Search

Suami isteri maut dalam kemalangan di Tamparuli

January 9, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal jenis yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12.5, Jalan Tamparuli – Ranau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, penunggang motosikal lelaki berusia 44 tahun serta isterinya yang juga pembonceng berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan sebuah Ford Ranger Raptor yang dipandu lelaki berusia 30 tahun bersama seorang penumpang lelaki, serta sebuah motosikal Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati Ford Ranger Raptor yang datang dari arah Ranau menuju Kota Kinabalu dipercayai sedang memotong kenderaan lain sebelum bertembung secara hadapan dengan motosikal berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan, manakala motosikal diseret ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal di Kilometer 12.5, Jalan Tamparuli – Ranau, Tuaran.

Beliau berkata, pemandu Ford Ranger Raptor mengalami kecederaan luka dan telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut, manakala penumpang kenderaan itu tidak mengalami kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat, sementara kedua-dua kenderaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran turut berada di lokasi kejadian. – Info X