KENINGAU: Cubaan meloloskan diri gagal apabila dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan khianat kabel Telekom Malaysia (TM) dicekup orang awam sebelum diserahkan kepada polis di Tambunan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 32 dan 42 tahun ditahan di sebuah perhentian bas berhampiran stesen minyak di Kampung Karanaan selepas disyaki memotong kabel TM di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil maklumat awam membawa kepada tangkapan dua lelaki terbabit, manakala lima lagi rakan sejenayah mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sambil membawa gulungan kabel yang telah dipotong.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit memotong kabel TM sepanjang kira-kira 100 meter dengan anggaran kerugian sekitar RM3,000.
“Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek datang dari Kota Kinabalu bersama lima rakan lain sebelum menyasarkan kabel TM di Kampung Karanaan.
“Ketika kejadian, penduduk kampung menyedari perbuatan mencurigakan sebelum bertindak menghalang laluan kenderaan suspek, menyebabkan dua daripada mereka gagal melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian keluar dari tempat persembunyian pada waktu siang dan cuba meminta bantuan di perhentian bas sebelum ditahan orang kampung dan diserahkan kepada polis.
Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai banyak rekod jenayah lampau termasuk kes jenayah dan narkotik, selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.
“Kabel yang dicuri dipercayai akan dijual ke premis barangan lusuh dengan hasil jualan digunakan untuk membeli dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Yampil berkata, usaha mengesan baki suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan. – Info X