Search

Liga Super: Sabah, KL City kongsi satu mata di Likas

January 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perlawanan Liga Super di antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Likas, malam ini berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Kedua-dua pasukan dilihat menghadapi kesukaran mengawal bola dengan baik disebabkan padang licin akibat hujan lebat namun tetap berusaha mencipta peluang menjaringkan gol dengan penguasaan bola yang agak seimbang.

Di pihak tuan rumah, kecekapan penjaga gol Damien Lim membaca pergerakan pemain lawan di hadapan gawang berjaya menghalang beberapa cubaan KL City untuk mencipta jaringan sepanjang babak pertama.

Situasi yang sama dihadapi pemain Sabah ketika melakukan cubaan jaringan, ditambah keadaan padang yang licin menyukarkan kawalan bola sekali gus menyebabkan kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan.

Beralih ke separuh masa kedua, pasukan pelawat dilihat bermula dengan agresif berbanding tuan rumah dalam persaingan mencipta gol.

Strategi serangan awal KL City itu berjaya mencipta jaringan pertama perlawanan melalui penyerang Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-50, sekali gus menjadikan kedudukan berubah 1-0.

Safawi berjaya mengambil peluang untuk menjaringkan gol selepas bola sepakan rakannya yang terkena tiang gol terpantul ke arahnya ketika penjaga gol Sabah, Damien Lim sudah tewas di tepi gawang.

Skuad Sang Badak bagaimanapun bernasib baik dapat menyamakan kedudukan hasil kepantasan penyerangnya, Ajdin Mujagic mengambil peluang bola terpantul selepas terkena penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad pada minit ke-66.

Kedudukan terikat 1-1 itu hampir berubah apabila pemain tengah Sabah, Miguel Angel Garrido Cifuentes mendapat peluang baik menjaringkan gol, namun dijatuhkan pemain lawan di kawasan kotak penalti.

Bagaimanapun, tiada sepakan penalti diberikan kepada Sabah selepas semakan VAR oleh pengadil.

KL City turut mencipta dua peluang baik untuk menambah jaringan pada minit kecederaan, namun kedua-dua cubaan pemainnya tersasar di tepi gawang, menjadikan keputusan kekal terikat satu sama hingga tamat masa kecederaan. – Info X