KINABATANGAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada 24 Januari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala satu lawan satu bagi PRK DUN Lamag.
Calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan ialah Mohd Naim Kurniawan Moktar dari Barisan Nasional (BN), Goldam Hamid (Bebas) dan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan).
Bagi PRK DUN Lamag pula calon yang bertanding ialah Mohd Ismail Ayob (Miha) mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek dari Warisan.
Nama-nama calon bagi kedua-dua PRK itu diumumkan selepas tamat tempoh penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini yang dibuka selama sejam bermula pada jam 9 pagi tadi.
Setelah selesai penamaan calon, tempoh kempen kini bermula sebelum hari mengundi biasa pada 24 Januari ini, manakala pengundian awal pada 20 Januari.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. – Info X