KOTA KINABALU: Walaupun terpaksa menunda hasrat menunaikan ibadah haji dua tahun lalu namun seramai 333 orang jemaah haji Sabah menzahirkan rasa syukur apabila terpilih berangkat ke tanah suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima berkenaan tahun ini.
Jemaah haji Sabah, Hartini Yussof, 41, berkata, dirinya mula menerima surat panggilan pertama pada tahun 2020 namun selepas itu menerima makluman lanjut bahawa semua keberangkatan ke tanah suci telah ditunda ekoran pandemik Covid-19.

“Saya menerima panggilan pertama pada tahun 2020 namun masa itu kita masih dalam situasi pandemik Covid-19.
“Pihak Tabung Haji (TH) ketika itu turut mengumumkan semua pelaksanaan haji terpaksa ditunda sehingga dimaklumkan kelak.
“Walaupun ketika itu hampir 50 peratus persiapan sudah dibuat namun saya serta suami akur dengan keputusan kerajaan.
“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila nama kami terpilih semula untuk berangkat ke tanah suci bagi menunaikan haji,” katanya ketika ditemui di perkarangan bangunan Tabung Haji Kota Kinabalu bersama suaminya, Noramlie Muhamad, 43, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang lagi jemaah haji Sabah, Ariffin Bakri, 49, memaklumkan dia dan isterinya, Norbayah Hasbah, 46, bersyukur walaupun niat menunaikan haji tertunda pada dua tahun lalu tetapi tidak menyangka kembali terpilih sebagai tetamu Allah tahun ini.
Ariffin berkata, sama seperti beberapa jemaah lainnya dia dan isteri antara yang sudah menerima surat makluman pada tahun 2020 tetapi segalanya tertunda akibat Covid-19.
“Alhamdulillah…kami terpilih jadi tetamu Allah. Dua tahun menunggu saat ini akhirnya Allah mendengar doa kami.
“Saya yakin walaupun negara serta dunia masih dibelenggu Covid-19 dan belum pulih sepenuhnya tetapi semua berjalan lancar sekiranya jemaah mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sabah 2022 pada Isnin.
Hadir menyaksikan keberangkatan jemaah,
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni selain Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan isteri, Datin Julia Salag.
Terdahulu, seramai 142 jemaah haji menaiki penerbangan pertama pada 13 Jun manakala penerbangan kedua dijadualkan hari ini dengan jumlah jemaah yang sama. – Info X