Search

Video buaya tular, polis jalankan pemeriksaan lokasi

January 13, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menjalankan pemeriksaan susulan penularan video buaya di media sosial sejak semalam berhubung lokasi yang didakwa sebagai habitat reptilia berkenaan, sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan penularan klip video berdurasi 1 minit itu, pihak polis terus menjalankan pemeriksaan di lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lokasi berkenaan adalah ladang penternakan buaya yang beroperasi secara sah.

“Siasatan mendapati ladang berkenaan beroperasi dengan memiliki lesen penternakan secara sah.

“Ladang berkenaan turut mempunyai lesen jual beli daging buaya sah yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ladang berkenaan beroperasi dengan memiliki lesen penternakan secara sah.

Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya percaya rakaman video tular berkenaan dirakam berhampiran ladang penternakan buaya berlesen dan beroperasi secara sah.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta sentiasa menyebarkan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab.

“Polis Penampang akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan di lokasi ladang ternakan buaya di Penampang.

Terdahulu, tular di media sosial satu video klip berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan kehadiran banyak buaya di sebuah kawasan berair, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – Info X