Search

Dr Yusof pengerusi baharu Sabah Development Berhad

January 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dilantik sebagai pengerusi baharu Sabah Development Berhad (SDB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di bawah Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan negeri.

Beliau yang sebelum ini Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad menggantikan Datuk Frankie Poon Ming Fung sebagai Pengerusi SDB dan secara rasmi memulakan tugasnya di Pejabat SDB, Blok C Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Sebagai pengerusi baharu, Dr Yusof diberikan taklimat ringkas mengenai operasi dan hala tuju SDB yang turut dihadiri beberapa ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan syarikat.

Pada sesi taklimat itu, Dr Yusof merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk memastikan SDB terus berkembang sebagai syarikat pembangunan milik Kerajaan Negeri yang berjaya.

Katanya, pada peringkat awal, beliau akan memberi tumpuan untuk mendalami peranan dan hala tuju strategik SDB termasuk anak-anak syarikatnya, antaranya Jetama Sdn Bhd, agar dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah. – Info X