KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah mahu pegawai eksekutif di syarikat milik kerajaan negeri itu bekerja dalam satu pasukan dan melaksanakan sistem tadbir urus baharu berprestasi tinggi.
Beliau juga mengingatkan pegawai termasuk eksekutif yang mengetuai anak-anak syarikat di bawah SEDCO supaya mengikis amalan budaya kerja ‘sekadar makan gaji’ tanpa mengambil inisiatif menambah baik potensi pelaburan.
ADUN Kuamut itu mula melaporkan diri bertugas di syarikat berkenaan pagi kelmarin selepas menerima pelantikan daripada kerajaan negeri pada minggu lalu.
Beliau kemudian diberi taklimat oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar James Wong Kien Peng.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin di pejabat perbadanan itu di Wisma SEDCO, di sini.
Masiung menegaskan, pegawai dan kakitangan kumpulan syarikat di bawah SEDCO perlu melaksanakan kerja sebagai satu keluarga sambil menolak sikap ego dalam entiti pentadbiran.
“Kita meletakkan sasaran supaya Kumpulan SEDCO muncul sebagai pemacu utama ekonomi Sabah dalam laporan tahunan, kerana itu kita memerlukan pegawai profesional berprestasi tinggi.
“Setiap cadangan hendaklah terlebih dahulu dikaji secara mendalam sama ada ianya boleh menjana keuntungan atau sebaliknya.
“Kita tidak boleh melaksanakan sesuatu projek atau pelaburan secara tergesa-gesa melainkan setelah membuat perancangan yang matang terlebih dahulu,” katanya.
Menerusi pembaharuan pentadbiran yang beliau cadangkan, SEDCO diminta menghantar laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan.
Masiung turut menggesa kepada pembuat dasar supaya setiap rangka kerja yang dirancang berpaksikan keperluan rakyat sebelum dibincang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah. – Info X