Search

Lelaki maut akibat masalah kesihatan ketika memandu

January 13, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki maut dipercayai akibat masalah kesihatan ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh dua buah kereta yang diparkir di Taman Suria Apartment, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tidak melibatkan kecederaan terhadap individu lain.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan dua buah kereta yang berada di lot parkir kawasan perumahan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika sedang memandu sebelum gagal mengawal kenderaan lalu merempuh dua kenderaan yang diparkir.


“Tiada kecederaan fizikal dilaporkan membabitkan orang awam atau pemilik kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenderaan dipandu mangsa merempuh dua kenderaan yang diparkir di Taman Suria Apartment, Penampang.

Beliau berkata, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala kes kemalangan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.

Sementara itu, Sammy berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mengutamakan keselamatan. – Info X