KOTA BELUD: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) secara rasmi membuka Kilang Padi dan Beras Tempatan ‘MEKAR by SLDB’ di Kampung Timbang Dayang, di sini, pada Isnin.
Pengurus Besar SLDB, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata langkah itu adalah satu inisiatif strategik bagi memperkukuh rantaian nilai industri padi dan beras serta menyokong jaminan keselamatan makanan negeri.
Beliau berkata, setakat ini kira-kira 540 ekar kawasan sawah padi terbiar berjaya diusahakan semula dan dengan pengoperasian kilang padi itu, SLDB menyasarkan untuk memperluas usaha pemulihan sehingga 1,000 ekar sawah di daerah Tuaran dan Kota Belud.
“Inisiatif ini bertujuan melengkapkan rantaian pengeluaran dan pemprosesan padi, sekali gus meningkatkan kecekapan, pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar.
“Kilang ini bukan saja meningkatkan kecekapan pemprosesan padi, malah membuka peluang pekerjaan, menambah pendapatan pesawah serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras luar,” katanya pada perasmian kilang berkenaan.
Beliau berkata, kilang itu berperanan memproses hasil tuaian Projek Padi SLDB di daerah Tuaran, Papar dan Kota Belud membabitkan keluasan tanaman semasa kira-kira 540 ekar.
Katanya, keluasan itu membabitkan penyertaan seramai 238 petani yang dijangka menghasilkan kira-kira 1,100 tan metrik padi bagi setiap musim.
“Selain itu, kilang ini turut membeli hasil tuaian pesawah sekitar daerah Kota Belud untuk diproses dan dipasarkan sebagai beras tempatan di bawah jenama MEKAR by SLDB.
“Ini sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan beras negeri Sabah,” katanya.
Majlis perasmian itu turut diserikan dengan lawatan ke fasiliti pemprosesan kilang serta sesi taklimat operasi yang menggambarkan keupayaan sistem pemprosesan terkini dengan kapasiti memproses sehingga 15 tan padi sehari.
Katanya, pembukaan Kilang Padi dan Beras Tempatan MEKAR by SLDB mencerminkan usaha berterusan SLDB dalam memacu pembangunan sosio ekonomi luar bandar melalui pendekatan pertanian mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi. – Info X