KOTA KINABALU: Tempoh 90 hari perintah mahkamah bagi semakan kadar pemberian khas Sabah berkaitan pengembalian 40 peratus hasil negeri ini yang diputuskan pada 17 Oktober lalu berakhir pada hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata tempoh itu adalah salah satu daripada dua garis masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.
Katanya, bagi garis masa 90 hari, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan bermula dengan mesyuarat antara kerajaan Persekutuan dan negeri pada 17 November lalu.
“Keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 menetapkan dua garis masa pelaksanaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.
“Tempoh 90 hari tersebut telah berakhir pada hari ini (14 Januari 2026), dengan satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah diadakan pada 17 November 2025 sebagai sebahagian daripada proses semakan awal dan perbincangan mengenai kerangka, parameter serta perkara-perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah.
“Sehubungan itu, saya sebagai menteri bertanggungjawab berkaitan perkara ini telah berkunjung hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 13 Januari 2026 untuk memperteguh tekad bagi menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa mahkamah serta menjunjung kedaulatan undang-undang demi kepentingan rakyat Sabah dan negara keseluruhannya,” katanya dalam saty kenyataan pada Rabu.
Mustapha berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menzahirkan keprihatinan serius terhadap pematuhan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan meletakkan isu itu sebagai keutamaan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi menetapkan dua garis masa pelaksanaan perkara berkenaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran. – Info X