KOTA KINABALU: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar bandar raya ini, pada Jumaat.
Operasi melibatkan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar itu dilaksanakan selama dua hari bermula 15 hingga 16 Januari lalu dengan penglibatan 29 pegawai penguat kuasa dari Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
Sepanjang operasi, enam premis diperiksa membabitkan 111 individu terdiri daripada warganegara tempatan dan asing.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 24 PATI terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 14 perempuan dewasa.
Menurut Imigresen Sabah, tangkapan membabitkan 15 warga Filipina dan sembilan warga Indonesia yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Imigresen Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berfokus dan berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara. – Info X