TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan penghargaannya atas sokongan seluruh rakyat Sabah terhadap kerajaan pimpinannya untuk terus mentadbir negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera parti, penjawat awam dan semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sabah secara terancang, inklusif dan mampan.
“Kestabilan politik dan pentadbiran negeri adalah prasyarat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Terima Kasih di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Sabtu.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri dan memastikan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
Sementara itu, Majlis Penghargaan dan Terima Kasih daripada Hajiji itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran yang terus berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
Ketibaan Hajiji bersama isteri, Datik Seri Juliah Salag pada majlis itu disambut meriah dengan iringan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen berterusan Ketua Menteri kepada rakyat Sabah.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada barisan artis tempatan dan artis jemputan dari Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan program itu sebagai platform mendekatkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh makna.
Antara artis yang membuat persembahan ialah Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin dengan pelbagai lagu popular sekali gus memeriahkan suasana majlis hingga ke penghujung acara. – Info X