Search

Kakitangan Hospital Tambunan maut, seorang lagi parah dalam nahas dua kenderaan

January 17, 2026

Info X Reporters

TAMBUNAN: Seorang kakitangan Hospital Tambunan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di hadapan Servay Jaya Supermarket, Jalan Dabata, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Simon Jibit, 48, pembantu pergigian Hospital Tambunan, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandunya sebelum kenderaan berkenaan dipercayai terbalik beberapa kali akibat perlanggaran.

kemalangan itu turut membabitkan sebuah Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun, pembantu tadbir Hospital Tambunan, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati Toyota Avanza terbabit baru keluar dari simpang Servay Jaya Supermarket.

Katanya, kenderaan itu kemudian dilanggar di bahagian sisi kanan penumpang oleh Perodua Alza yang datang dari arah jalan utama.

“Akibat perlanggaran itu, Toyota Avanza terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebuah kenderaan lain yang sedang diparkir di lot parkir berhampiran.

“Perodua Alza pula dipercayai terbalik beberapa kali menyebabkan pemandunya tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan sebelum mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.

Beliau berkata, mangsa wanita kini masih menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Tambunan.

“Manakala mayat mangsa lelaki dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X