Search

Selesai isu sekolah daif – James Ratib

January 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah memberi keutamaan terhadap usaha menyelesaikan isu sekolah daif yang masih berlaku di negeri ini.

Menterinya, Datuk James Ratib, berkata masalah itu yang kebanyakannya dialami sekolah luar bandar perlu diselesaikan demi keselamatan dan keselesaan murid serta guru.

Selain itu, katanya sekolah terbabit memerlukan perhatian segera demi kelangsungan proses pembelajaran murid dan kesejahteraan warga pendidik.

Tegasnya, sekolah daif bukan sekadar isu bangunan, sebaliknya turut membabitkan isu maruah pendidikan, keselamatan murid dan guru serta keadilan sosial.

“Kita komited untuk menjadi suara tegas di peringkat negeri dan Persekutuan selain menyediakan data yang tepat dan terkini.

“Selain itu, kita juga akan memastikan setiap projek pembaikan dan pembinaan dilaksanakan dengan berintegriti, telus dan berimpak tinggi.

“Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk terus memperjuangkan dan membangunkan sekolah-sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, baru-baru ini.

James berkata, pihaknya akan memastikan isu itu ditangani secara konsisten di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Ini termasuk menanganinya berpandukan data yang tepat dan pelaksanaan projek yang berfokus, berintegriti serta berimpak tinggi demi menjamin hak pendidikan yang selamat dan bermaruah untuk setiap anak Sabah,” katanya.

Setakat ini, katanya kira-kira 300 sekolah di Sabah dikategorikan sebagai daif.

Uaha menaik taraf sekolah terbabit, katanya disasar dilaksanakan pada tahun ini. – Info X