Search

Titah Agong berkaitan MA63 jadi peringatan yang amat bermakna – Mustapha

January 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi peringatan yang amat bermakna bahawa negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat di antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 (2026) di Kuala Lumpur pada Isnin itu membawa makna dan mesej yang sangat penting dalam usaha memelihara hubungan yang kukuh antara ketiga-tiga wilayah.

Sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas titah baginda Sultan Ibrahim, Mustapha berkata beliau menyambut baik seruan agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia dan peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.

“Sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” katanya dalam satu kenyataan selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan MA63 secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dengan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, usaha berterusan itu merangkumi penambahbaikan kerangka perundangan dan perlembagaan, penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah serta pengukuhan kerjasama strategik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan.

Beliau berkata, dalam konteks pembinaan negara bangsa dan memperkukuh perpaduan nasional, Pelan Pendidikan Negara yang bakal diluncurkan diharap dapat memberi penekanan yang lebih jelas terhadap Sejarah Pembentukan Malaysia, termasuk semangat dan makna MA63, agar difahami secara menyeluruh oleh generasi muda.

Pada masa yang sama, katanya peranan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan dan keharmonian dalam kerangka Malaysia MADANI wajar terus diangkat dan diperkasakan, seiring dengan usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa utama lain serta melindungi bahasa-bahasa etnik bagi melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdaya saing dan mampu berinteraksi di peringkat global.

“Saya ingin menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian, tetapi merupakan ‘AGENDA NASIONAL MASA HADAPAN NEGARA’ bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, pengurusan sumber yang berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berintegriti.

“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh,” katanya. – Info X