Search

Bot lampu ditahan, musnahkan ekosistem marin

January 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah bot lampu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut yang boleh memusnahkan ekosistem marin, dalam rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, di sini, semalam.

Bot berkenaan ditahan kira-kira 0.5 batu nautika timur Tanjung Melanim selepas dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang dan berpotensi menjejaskan keseimbangan hidupan laut.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut adalah kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pengenalan diri kru vesel adalah meragukan selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua kru warga Filipina berusia 54 dan 19 tahun berada di atas vesel terbabit. Semua kru bersama bot lampu itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Lampu di dasar laut adalah kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal.

“Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan sumber rezeki generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua nelayan dan kru vesel supaya mematuhi undang-undang perikanan serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.

“Tindakan tegas termasuk penahanan vesel dan tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan.

“Orang ramai dan komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan di perairan kepada Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau 999,” katanya. – Info X