Search

Dua maut nahas motosikal dan van

January 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perjalanan malam bertukar tragedi apabila dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Vario disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van jenis Kia.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati van berkenaan bergerak dari arah Kampung Numbak menuju ke One Borneo.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, kedua-dua kenderaan bertembung selepas motosikal jenis Honda Vario 125 dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat kedua-dua mangsa yang terbabit kemalangan di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, Kota Kinabalu.

Menurutnya, pemandu van dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemeriksaan awal mendapati van mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala motosikal mengalami kerosakan teruk.

“Tiada pihak yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun sampel darah akan diambil untuk analisis toksikologi,” katanya.

Van yang terbabit kemalangan dengan motosikal di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, Kota Kinabalu.

Syed Lot berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222,” katanya. – Info X