Search

PEMBAIKAN CERUN RUNTUH DI KM 2.1 SANDAKAN DIMULAKAN BULAN DEPAN, KATA BUNG

June 15, 2022

admin

SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan kerja pembaikan cerun runtuh di kilometer 2.1 Jalan Utama menuju pusat bandar berhampiran bulatan menara jam SM Sung Hiew akan di mulakan bulan depan .

“Kerajaan sudah melulusan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk kerja-kerja membaik pulih cerun berkenaan yang runtuh ekoran faktor cuaca yang tidak menentu sejak awal tahun ini.

“Kita perlu perbaiki segera cerun yang runtuh ini disebabkan ia adalah laluan utama pengguna jalan raya ke pusat bandar selain ke kawasan sekolah yang berhampiran bagi mengelak runtuhan lebih besar berlaku.

“Aspek keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam adalah keutamaan kita,” katanya ketika ditemui selepas meninjau beberapa keadaan insfrastruktur rosak di beberapa lokasi sekitar bandar Sandakan, semalam.

Selain meninjau cerun runtuh di Kilometer 2.1, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut meninjau cerun runtuh berhampiran Taman Vun Wu, 10 jambatan roboh di kampung Sim-Sim serta tiang lampu tumbang di Jalan Batu 5.

“Bagi cerun yang runtuh berhampian Taman Vun Wu, saya telah mengarahkan jurutera daerah untuk mengemukakan cadangan dan anggaran kos peruntukan yang diperlukan untuk membaiki cerun tersebut.

“Pihak Majlis Perbandaran Sandakan juga sudah diminta mengkaji dan mengemukakan anggaran kos peruntukan yang diperlukan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan 10 jambatan roboh di kampung Sim-Sim.

“Sebaik sahaja cadangan dan anggaran kos peruntukan dikemukakan, kita akan majukan permohonan berkenaan untuk memohon peruntukan dari kerajaan negeri atau Pusat” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai rungutan orang awam tentang kerosakan lampu jalan di beberapa buah kawasan sekitar bandar Sandakan, Bung Moktar memaklumkan sudah meminta pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Majlis Perbandaran Sandakan meneliti masalah terbabit dan mengemukakan cadangan agar menukar semua lampu dan tiang yang mengalami kerosakan.

“Saya fikir elok kita gantikan lampu yang sedia ada dengan menggunakan lampu LED atau tenaga solar yang lebih lama ketahanannya dari lampu yang kita gunakan ketika ini” katanya. – Info X