PUTATAN: Suasana pagi di Kampung Dumpil, di sini, bertukar cemas apabila lebih lima buah rumah dilaporkan terbakar dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, api dilaporkan marak dan merebak dengan pantas ke beberapa buah rumah berhampiran, memaksa penduduk bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
Difahamkan, kebakaran dipercayai bermula dari hujung sebuah rumah sebelum api merebak dengan cepat ke kediaman bersebelahan, dipercayai akibat struktur rumah yang rapat serta bahan binaan mudah terbakar.

Penghuni yang menyedari kejadian berkenaan bertindak pantas menyelamatkan diri bersama ahli keluarga sebelum menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Ketika itu, api semakin marak dengan kepulan asap tebal mula menyelubungi kawasan perkampungan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira empat kilometer.

Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, menjadikan keseluruhan kekuatan seramai 22 anggota bersama beberapa jentera termasuk jentera pemadam dan lori tangki air.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran benar berlaku membabitkan lima rumah kampung atas air dan sedang merebak ke beberapa bahagian.
“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan bomba mengalami kesukaran mendapatkan air terbuka disebabkan air sungai surut selain tiada pili bomba berhampiran.
“Usaha pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain.

“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan dan operasi masih berjalan. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X