Search

Arthur dilantik Pengerusi BN Sabah

January 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sabah.

Pelantikan itu diumumkan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

BN dalam satu kenyataan berkata Dewan Tertinggi BN bersetuju melantik Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu sebagai pengerusi, manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin sebagai timbalannya.

Turut dilantik ialah Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah yang baharu.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, BN merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas pelantikan Jafry yang jiga ADUN Sukau sebagai menteri dan ADUN Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai pembantu menteri dalam Kabinet baharu Sabah.

Bn turut menyatakan penghargaan dan tetima kasih atas sokongan Hajiji kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag yang akan diadakan pada Sabtu ini.

“BN juga sedang mempertingkatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi dua PRK tersebut dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya. – Info X