Search

Piala Malaysia: Ernesto sandaran baharu Sang Badak

January 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemain import baharu bakal bakal diturunkan bermula pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Melaka FC di Stadium Likas, malam ini.

Ernesto Amantegui Phumipha yang bermain di posisi pertahanan menjadi pertaruhan Sang Badak untuk memenangi perlawanan setelah berjaya mengikat Melaka 2-2 pada perlawanan pertama sebelum ini.

Nama pemain berdarah Siam-Sepanyol itu diumumkan Sabah FC menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di laman Facebook kelab berkenaan pada petang Rabu

Pemain berumur 36 tahun itu yang dilahirkan di Sepanyol, sebelum ini bermain di Liga Thailand dan pernah menjadi tonggak kelab bola sepak Nakhon Pathom United FC di negara itu.

Sebelum ini, pengendali sementara Sang Badak, Alto Linus menyatakan hasrat pasukan untuk membawa masuk pemain import baharu menerusi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Langkah itu katanya bagi memperkuat Sang Badak dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super musim ini, selain saingan Piala Malaysia yang kini bermula.

Ernesto dijangka menggantikan tempat yang ditinggalkan bekas pemain pertahanan Sabah, Daniel Ting yang meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama, baru-baru ini. – Info X