KAHERAH: Sabah berpotensi besar untuk dijadikan pusat rujukan Darul Ifta di peringkat serantau susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan Darul Ifta Mesir, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang kefatwaan, penyelidikan serta latihan keilmuan Islam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, satu Jawatankuasa Pelaksanaan MoU akan diwujudkan segera bagi memastikan kerjasama yang dimeterai dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
“Antara fokus utama kerjasama strategik itu ialah penganjuran program dan kursus kefatwaan khusus untuk mahasiswa Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir, terutama di Universiti al-Azhar.
“Kita sedang mencari pendekatan terbaik supaya pelajar Sabah yang menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah dapat menamatkan pengajian mereka dengan memperoleh dua kelayakan, iaitu ijazah akademik bersama sijil diploma kefatwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta, di sini, pada Khamis.

Mohd Arifin berkata, penubuhan jawatankuasa bersama itu diyakini mampu merealisasikan Sabah sebagai pusat Darul Ifta bagi pelaksanaan program penyelidikan, latihan kefatwaan serta rujukan keilmuan Islam di peringkat serantau.
“Pendekatan serta aliran pemikiran yang diamalkan Darul Ifta Mesir amat sesuai dengan konteks serantau, khususnya Malaysia, kerana berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menekankan nilai wasatiyyah, toleransi, menghormati karamah insaniah serta menolak unsur ekstremisme.
“Malah, kebanyakan mufti dan pegawai fatwa di negeri-negeri di Malaysia, termasuk beberapa negara ASEAN, pernah menjalani latihan kefatwaan selama beberapa bulan di Darul Ifta Mesir,” jelasnya.
Sementara itu, beberapa pelajar Sabah yang sedang menuntut di Kaherah menyambut baik pemeteraian MoU berkenaan kerana ia dilihat mampu memperkasa ilmu dan kemahiran mereka.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut memberi nilai tambah kepada pengajian yang diikuti sebagai persediaan menghadapi cabaran masyarakat pada masa hadapan. – Info X