Search

PRK Kinabatangan, Lamag: Dakwat kekal dicelup di jari kelingking kiri, 48,282 pemilih layak mengundi

January 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penandaan dakwat kekal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag esok dibuat di jari kelingking tangan kiri pengundi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata seramai 48,282 orang pengundi biasa bakal mengundi pada pilihan raya itu di 36 pusat mengundi yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran.

Katanya, seramai 1,106 orang petugas pula akan mengendalikan proses pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.

“SPR juga ingin memaklumkan sebanyak dua pusat mengundi akan ditutup pada jam 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi bagi PRK ini pula akan ditutup secara berperingkat mulai jam 1 tengah hari sehingga jam 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

“Di samping itu, penandaan dakwat kekal pada PRK ini akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri pengundi yang hadir mengundi nanti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau menasihatkan pengundi supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, sebaliknya digalakkan keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti tercatat dalam aplikasi MySPR Semak.

Bagaimanapun, katanya pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang diwartakan.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada Hari Mengundi.

“Justeru itu, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

SPR juga katanya mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada itu selaras peruntukan yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Bagi PRK Kinabatangan, seramai tiga calon bersaing iaitu Mohd Naim Kurniawan Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Mohd Ismail Ayob atau Miha (BN) dan Mazliwati Abdul Malek Chua (Warisan). – Info X