Search

Lapan ditahan, sekumpulan lelaki ‘layan’ vape dan ketum diserbu polis

January 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Aktiviti sekumpulan lelaki yang dipercayai sedang menikmati cecair vape mengandungi dadah serta minuman ketum berakhir apabila polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4, di sini, pada Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, polis menahan lapan lelaki termasuk tiga warga asing yang berada di bahagian tepi rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan, dipercayai sedang ‘layan’ vape sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan disyaki dadah di lokasi kejadian.

“Polis merampas 13 botol cecair vape jenis ‘Mushroom’ pelbagai perisa disyaki mengandungi dadah, sebotol air ketum yang diletakkan di atas meja serta sebuah kotak rokok berisi sembilan batang rokok mengandungi tumbuhan kering dipercayai ganja.

“Semua suspek berusia antara 19 hingga 40 tahun terdiri daripada warga tempatan dan tiga warga asing, dengan dua daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pemilikan atau pengedaran cecair vape mengandungi dadah termasuk mushroom dan air ketum.

“Operasi bersepadu akan terus dipergiatkan termasuk mengesan keseluruhan rangkaian pembekal serta pengedar sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan daerah ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X