KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima dua laporan berasingan berkaitan kes khianat membabitkan perbuatan menyimbah cat ke atas premis pinjaman wang berlesen di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes pertama membabitkan sebuah premis di Api-Api Centre, manakala kes kedua melibatkan sebuah lagi premis di Jalan Perpaduan, Kampung Air.
“Kedua-dua premis berkenaan didapati disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, dengan kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Dalam kedua-dua kejadian, tiada kecederaan dilaporkan, namun perbuatan khianat itu menyebabkan kerosakan serta mencemarkan harta benda syarikat selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan premis dan kakitangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, polis telah mengambil tindakan awal termasuk merakam percakapan pengadu, melawat lokasi kejadian serta menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dan mengenal pasti suspek terlibat.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam. – Info X