SEMPORNA: Seorang wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Munairaya Baluan, 58, orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemukan rentung di ruang bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar selepas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba mendapati kebakaran melibatkan tujuh rumah setinggan jenis tidak kekal dan keseluruhan kawasan terlibat musnah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua pancutan air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, seorang wanita OKU ditemukan rentung di ruang bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami semua mangsa masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya. – Info X