TAWAU: Daerah ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kawasan pertanian utama di Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang dikenal pasti antara terbaik di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom.
Kedudukan itu, katanya memberi kelebihan besar kepada pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi dan inovasi di daerah ini.
“Untuk makluman, tanah yang paling subur di Sabah yang pertama adalah Tawau dan kedua Tenom. Dengan perkembangan teknologi serta penggunaan bahan tanaman baharu, kita yakin sektor pertanian di Tawau dan Sabah akan terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Jumaat.
Pameran yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari itu membabitkan sebanyak 50 gerai, sekali gus menjadi platform penting mempamerkan teknologi, inovasi dan produk baharu dalam sektor pertanian dan perikanan di daerah ini.
Jamawi berkata, pameran berkenaan menampilkan pelbagai teknologi terkini berkaitan pertanian dan perikanan, selain produk makanan baharu yang dihasilkan hasil bimbingan kementeriannya serta Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Pameran itu, katanya turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk baharu yang dihasilkan menerusi sokongan dan program bimbingan agensi kerajaan.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua usahawan dan penggiat industri pertanian serta perikanan di Tawau kerana berkongsi kejayaan, produk baharu dan teknologi yang dihasilkan di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi turut menekankan potensi tanaman baharu khususnya varieti avokado QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau.
“Varieti ini dahulunya dikenali sebagai QAV1 dan mulai Ogos tahun lalu, kita namakan semula sebagai Avocado Quoin Sabah untuk dipromosikan di bawah Jabatan Pertanian,” katanya.
Beliau berkata, avokado varieti berkenaan mempunyai kualiti setanding, malah lebih baik berbanding varieti import dari luar negara, sekali gus mempunyai potensi besar untuk pasaran eksport.
“Hasilnya berkualiti, rasanya lemak, manis dan berkrim dengan purata saiz sekitar 500 gram sebiji. Tempoh masaknya kira-kira seminggu selepas dituai dan sesuai untuk pasaran eksport kerana boleh disimpan lebih lama,” katanya.
Jamawi berkata, permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat, namun bekalan semasa masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran.
“Baru-baru ini sebuah syarikat memohon satu kontena avokado sebulan dan lima kontena nanas MD2, tetapi setakat ini Sabah hanya mampu mengeluarkan sekitar dua kontena sebulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pertanian menyediakan benih serta bahan tanaman bagi membantu petani dan menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam sektor pertanian, termasuk melalui pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur.
“Bagi mereka yang belum bermula, mulakan secara kecil-kecilan melalui Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini, lengkap dengan pakej memulakan aktiviti pertanian di sekitar rumah,” katanya. – Info X