Search

Penunggang motosikal meninggal dunia selepas empat jam bertarung nyawa

January 24, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Seorang penunggang motosikal yang sebelum ini dilaporkan parah akhirnya meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih empat jam akibat kemalangan di Jalan Kota Kinabalu – Papar, berhampiran Kampung Petagas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, mangsa lelaki berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Kancil sebelum terbakar dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai gagal mengelak kenderaan Perodua Kancil yang berada di hadapannya.

“Kejadian menyebabkan motosikal terbakar manakala mangsa mengalami kecederaan parah. Bagaimanapun, pemandu Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat, Inspektor Amrin Mohamad Rif di talian 017-663 8278,” katanya. – Info X